Friday 12 July 2013

Novel KEMBALI PADAMU - Prolog

P r o l o g

JAMAL merenung cincin yang bakal disarungkan ke
jari Katijah dalam masa kurang dari seminggu. Gadis
yang menjadi idamannya sejak dari dulu itu bakal
disunting menjadi suri hidupnya tidak lama lagi. Namun
ketika ini hatinya berbelah bahagi. Dia berada dalam
persimpangan antara cintanya pada Katijah ataupun
kasihnya pada sahabat baiknya, Badrul.

Rambut yang sudah tersikat rapi diusap ke belakang
beberapa kali. Kemudian, dia berhenti hampir dengan meja
tulisnya. Sebuah buku dicapai dan kembali duduk di atas
katil bujang. Kerana isi kandungan buku inilah membuatkan
hatinya dalam keadaan gusar.

Isi kandungan buku itu dibaca sekali lagi. Tiba-tiba,
Jamal menutupnya dan mencapai kunci motosikal. Langkah
diatur tanpa memberitahu pada keluarga arah tujuannya.
Sebaik sahaja enjin motosikal miliknya dihidupkan, dia terus
menaiki motosikal itu dan meredah jalan kampung.

Belup! Belup! Kedengaran bunyi batu yang dibaling
ke dalam sungai. Jamal memandang air sungai yang sedikit
berkocak dengan pandangan kosong. Dia sedang menanti
kehadiran seseorang. Perkara yang ingin dibincangkan ini
bakal menentukan arah tuju hidupnya.

Saat terdengar enjin motosikal yang semakin
menghampiri, Jamal menoleh ke belakang. Bila pasti orang
yang dinanti sudah tiba, dia kembali memandang ke sungai.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumussalam.”

“Kenapa nak jumpa aku kat sini?” tanya Badrul hairan
kerana tiba-tiba saja Jamal ingin berjumpa di tepi sungai.
Selalunya mereka akan bertemu di Warong Pak Halim
ataupun di rumahnya. Tapi kali ini tempat pertemuan
mereka agak berlainan.

“Hmm... saja,” jawab Jamal ringkas.

“Kau okey, Mal? Aku tengok kau macam ada masalah
aje,” tanya Badrul menepuk bahu Jamal.

Bimbang juga bila dia melihat wajah murung Jamal.
Jarang benar Jamal bersikap murung seperti ini. Biasanya
Jamal bersikap ceria. Tapi hari ini lain benar sikap Jamal.
“Cuba kau tengok air sungai yang sedang mengalir tu.
Kau akan nampak air tu mengalir tenang atau sebaliknya,”
arah Jamal.

Badrul memandang air sungai kemudian kembali
memandang Jamal.

“Air tu kan mengalir tenang. Kau ni kenapa, Mal? Tanya
soalan pun puitis aje. Hairan aku dengan kau hari ni. Apa
masalah kau sebenarnya?” tanya Barul bimbang.

“Hmm... saat ni hati aku tak tenang, Bad,” jawab Jamal.
Badrul tersenyum.

“Orang yang nak kahwin memang macam ni. Hati
selalu gemuruh. Biasalah tu. Kau janganlah fikirkan sangat,”
ujar Badrul faham keadaan Jamal ketika ini.

Mengikut kata orang tua, pasangan yang akan berkahwin
akan ada perasaan gemuruh bila tarikh perkahwinan
mereka semakin hampir.

Jamal beruntung kerana bakal memiliki Katijah. Gadis
pujaan sebahagian besar pelajar lelaki di sekolah mereka
dulu. Ramai yang cuba untuk memiliki Katijah dan akhirnya
Jamal yang berjaya.

“Bad, kau tak ada calon lagi ke?”
Soalan Jamal itu mengundang tawa Badrul.

“Soalan apa ni, Mal? Biarlah kau lepas dulu. Aku ni baru
aje dapat kerja jadi cikgu. Ekonomi pun masih belum stabil
lagi,” jawab Badrul.
Jawapan Badrul itu hanya dibalas dengan senyuman
sinis Jamal.

“Alasan lapuk,” balas Jamal.

“Kenapa kau cakap macam tu? Apa perkara sebenarnya
yang kau nak bincangkan ni, Mal? Cuba kau cakap betulbetul
dengan aku. Kalau aku boleh tolong, aku akan tolong.
Kau tahukan tu. Aku sanggup buat apa saja untuk kau. Kita
kan kawan baik,” ujar Badrul.

Kelakuan Jamal merisaukan Badrul. Sepanjang
pengenalan mereka, dia tidak pernah melihat Jamal seperti
ini. Pasti saja masalah yang sedang Jamal hadapi sekarang
ini amat membebankan dirinya. Sebagai rakan, dia rasa
perlu untuk membantu. Lebih-lebih lagi dia amat terhutang
budi dengan keluarga Jamal yang telah membelanya setelah
kematian orang tuanya. Jamal sudah dianggap seperti
abangnya sendiri.

“Kenapa kau tak cakap yang kekasih kau kena kebas,
sebab tu kau tak kahwin lagi,” ujar Jamal.

“Apa yang kau cakapkan ni? Merepek ajelah,” ujar
Badrul menolak dakwaan Jamal itu dengan tegas.

Jamal tersenyum lagi. Kenapa kau masih ingin
menafikannya, Bad. Aku dah tahu semuanya. Kau mencintai
Jah. Kau tak perlu korbankan perasaan kau demi budi yang
telah keluarga aku berikan. Kata-kata itu hanya terluah di
hati Jamal.

“Bad, kau rasa Jah tu layak ke dengan aku?” tanya Jamal
bila masing-masing melayan perasaan sendiri.

Berkerut dahi Badrul. Dia merenung wajah Jamal
sebelum memberi jawapan. Hairan benar dia dengan sikap
Jamal pada hari ini.

“Mal, kau dengan Jah memang sepadan dari dulu lagi.
Kat sekolah dulu pun kau orang berdua dah digelar ‘Romeo
and Juliet’. Kenapa kau ni, Mal? Aku tengok lain macam aje.
Takkan kau gabra nak kahwin sampai macam ni sekali?
Jah gadis yang baik, sopan dan tahu hormat orang tua.
Aku yakin Jah dan kau akan hidup bahagia dan dikurniakan
anak yang ramai dan soleh. Janganlah kau fikirkan perkara
yang bukan-bukan. Tak elok. Orang yang nak kahwin ni kena
tenang,” nasihat Badrul panjang lebar.

“Kalau... kalau aku suruh kau ganti tempat aku, kau nak
tak?” soal Jamal.

“Maksud kau?” tanya Badrul meminta kepastian.

“Kau kahwin dengan Jah, boleh?” jawab Jamal ringkas
dan selamba.

“Kau dah gila ke, Mal? Apa yang kau cakap ni?” balas
Badrul dengan nada terkejut.

Tak sangka Jamal memberikan idea yang gila seperti
itu. Entah apa yang telah merasuk fikiran Jamal ketika ini,
dia sendiri tidak pasti. Dia mula bimbang, takut kalau-kalau
Jamal akan melakukan perkara yang bakal mengundang
kekecohan nanti.

Jamal menarik nafas dalam dan menghembusnya
perlahan-lahan. Dia berjalan menghampiri gigi sungai sambil
menyeluk tangan ke dalam kocek seluar.

“Aku sebenarnya rancang nak sambung belajar lagi.
Tapi tiba-tiba pulak keluarga aku nak aku kahwin dengan
Jah dalam masa terdekat ni,” ujar Jamal.

“Lepas kahwin pun kau boleh sambung belajar. Kau
boleh bawak Jah sama. Itu bukan masalah besarlah, Mal.
Perkara kecil macam tu pun kau nak runsing sampai macam
ni,” nasihat Badrul.

Badrul menggeleng-geleng. Dia ingatkan apalah
masalah Jamal. Rupa-rupanya Jamal dalam dilema antara
sambung belajar atau berkahwin dengan Katijah. Padanya,
Jamal benar-benar beruntung kerana dapat menyambung
pengajian dan seterusnya berkahwin dengan gadis paling
cantik di kampung mereka ini.

Terdetik rasa cemburu dengan kelebihan rakan karibnya
ini. Namun dengan pantas dia menginsafi dirinya. Dia tak
sepatutnya bersikap seperti itu. Jamal memang layak untuk
menerima itu semua.

Jamal menoleh ke belakang dan memandang Badrul.
Dia tersenyum kemudian melangkah menghampiri Badrul.
Ditepuk bahu Badrul.

“Kalau aku tak jadi kahwin dengan Jah, aku harap kau
yang akan mengahwininya.”

“Hei, apa yang kau merapu ni, Mal? Aku tak sukalah
kau cakap yang bukan-bukan,” ujar Badrul menarik muka
masam. Dia tidak suka dengan kata-kata Jamal itu.

“Aku cakap kalau aje. Kita hanya boleh merancang tapi
ALLAH yang menentukan semuanya.”

“Aku tahu tu. Tapi aku memang tak suka kau cakap
macam tu tadi. Kau macam meragui Jah aje. Katijah gadis
yang baik, Mal. Bertuah kau dapat dia sebagai isteri. Aku
doakan kau akan hidup bahagia dengan Jah nanti.”

Jamal dan Badrul berpelukan. Jamal tidak mampu untuk
meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya pada Badrul.
Keikhlasan Badrul membuat dia berasa terharu.

http://www.bukuprima.com.my/prodDetails.asp?idpr=443

No comments:

Post a Comment